Penerbitan Web
Menurut Konferens Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD), penerbitan elektronik terdiri daripada teknologi dan model perniagaan yang melibatkan penghasilan, penyelenggaraan, pengarkiban dan pengedaran dokumen (buku, jurnal, majalah, suratkhabar dan lain-lain) dalam bentuk elektronik dan/atau melalui komputer. Ini bermakna segala proses penerbitan bermula daripada penghasilan dokumen oleh penulis sehingga dokumen tersebut sampai kepada pembaca tidak lagi berasaskan kertas tetapi berasaskan elektronik dan menggunakan teknologi komputer serta komunikasinya. Penerbitan web turut merangkumi makna di atas, kerana setiap apa yang diterbitkan di web dengan sendirinya merupakan dokumen elektronik dan melalui proses penerbitan yang sepenuhnya menggunakan komputer. Namun penerbitan web tidak merujuk kepada bahan elektronik yang diedarkan melalui cakera padat atau yang lain seumpamanya.
Kemaraan teknologi dan kemajuan sains dalam bidang teknologi maklumat ini telah menjadikan industri, perniagaan dan aktiviti penerbitan menjengah era baru yang sama sekali berbeza berbanding dahulu. Penerbitan web mewakili pembaharuan dalam teknologi percetakan-penerbitan dan telah merevolusikan segala aktiviti lain berkaitan informasi dalam masyarakat. Buat kali pertama, sesuatu maklumat boleh diagihkan kepada seberapa ramai orang yang dikehendaki tanpa mengira tempat, dimanfaatkan oleh mereka dan kemudian diagihkan pula kepada orang lain menggunakan komputer dan peranti lain yang berperanan serupa melalui rangkaian atau jaringan Internet serta teknologi web yang lain.
Perkongsian ilmu saintifik dan hasil kajian menjadi lebih pantas dan tidak lagi terhad kepada jurnal bercetak yang perlu dilanggani pada kadar harga tertentu. Pilihan percuma tetapi bermutu telah ada dalam talian contohnya jurnal-jurnal akademik yang ditawarkan Directory of Open Access Journal (DOAJ), Open J-Gate atau usaha peribadi sarjana seperti T. D. Wilson yang menerbitkan jurnal Information Research dengan kerjasama beberapa pihak. Malah penerbitan web jugalah yang memungkinkan terlaksananya perdagangan elektronik dan kerajaan elektronik. Perdagangan elektronik boleh mempertimbangkan potensi industri penerbitan konvensional yang menghasilkan pulangan sebanyak 26 bilion dolar dalam tahun 2002. Sekiranya industri penerbitan yang sebesar itu nilainya dan dimonopoli oleh syarikat penerbitan negara maju terutama di Eropah dan Amerika Syarikat digembleng ke arah industri penerbitan web oleh negara membangun, mereka mempunyai peluang untuk bersaing dengan lebih saksama kerana sasaran pengguna atau pelanggan telah diperluaskan lagi meskipun bermula di pasaran kecil. Oleh sebab itu usaha penerbitan elektronik oleh Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Karyanet merupakan tindakan yang tepat pada masanya. Institusi kebudayaan seperti perpustakaan juga dapat meningkatkan perkhidmatan dengan menggunakan teknologi penerbitan web. Perkhidmatan penghantaran dokumen (Document Delivery Service) cara lama yang lambat telah digantikan dengan penghantaran dokumen elektronik yang pantas dan boleh dipohon secara peribadi dalam talian tanpa perlu melalui institusi tertentu.
Perubahan dalam teknologi digital selama beberapa tahun belakangan telah memberi manfaat besar kepada penerbitan web. Hasilnya dalam tempoh sepuluh tahun terdapat peningkatan yang memberangsangkan dalam penghasilan bahan elektronik sama ada dalam dunia kesarjanaan atau perdagangan. Pada hari ini kategori penerbitan elektronik sudah begitu pelbagai seperti jurnal elektronik, buku elektronik, kertas elektronik, pangkalan data elektronik (sama ada abstrak, indeks atau teks lengkap), kerja rujukan elektronik, perpustakaan buku elektronik dalam talian, portal maklumat nilai ditambah (value-added information portal) dan lain-lain lagi.
Seiring dengan limpahan bahan penerbitan web ini, teknologi maklumat juga turut menghasilkan penyelesaian baru untuk menguruskan kepelbagaian medium dan format elektronik yang wujud. Kajian dan pembangunan terkini dalam bidang penerbitan web menawarkan satu keseimbangan baru kepada ekosistem penerbitan dalam talian sama ada untuk tujuan kesarjanaan atau perdagangan.
Sekadar menyebutkan beberapa contoh; antara bahasa pemformatan, standard teknologi dan lain-lain yang menjadi penyelesai kepada pertumbuhan bahan penerbitan web dan merevolusikan aliran penerbitannya adalah Standard Generalized Mark-up Language (SGML), Hypertext Mark-up Language (HTML), Dynamic Hypertext Mark-up Language (DHTML), Extensible Mark-up Language (XML), Extensible Stylesheet Language Transformations (XSLT), synchronized multimedia, Resource Description Framework (RDF), Digital Object Identifier (DOI), Open Uniform Resource Locator (OpenURL), pelbagai standard dan skema metadata seperti Dublin Core dan Metadata Encoding Transmission Standard (METS), Web 2.0, Open Access Initiative (OAI), Unicode serta banyak lagi teknologi maklumat dan komunikasi. Melalui gabungan terbaik dan simbiotik inilah penerbitan web menjadi semakin subur dan berpotensi.
Oleh sebab kepelbagaian teknologi yang mendasarinya, penerbitan web menjadi sesuatu yang mencabar untuk diceburi. Malah perbincangan tentangnya bukan sahaja melibatkan teknologi, tetapi juga kos penerbitan dan pengagihan, model penentuan harga, struktur industri, kualiti bahan dan harta intelektual yang banyak berbeza daripada paradigma dunia penerbitan yang lama. Beberapa perkara berkait perlaksanaan undang-undang berkenaan harta intelektual dan hak cipta harus diselesaikan dengan bijaksana oleh pemerintah supaya selaras dengan gerak kerja di peringkat antarabangsa yang dijalankan oleh Organisasi Harta Intelektual Dunia (WIPO) dan Organisasi Perdagangan Dunia (WTO). Dengan cara ini pengamal penerbitan web akan berasa lebih terbela dan lebih ramai lagi yang akan menceburinya. Walau bagaimanapun suatu kenyataan yang harus diterima adalah wujudnya jurang digital di antara golongan miskin dengan golongan berada yang harus direntasi terutama di negara membangun agar penerbitan web dapat dimanfaatkan oleh semua.
Di sebalik semua cabaran ini, kepentingan dan potensi penerbitan web tidak dapat tidak harus diakui dan diberi keutamaan yang bukan sedikit supaya kelak kita tidak ketinggalan. Kepentingan web dan kaitannya dengan kehidupan kita hari ini digambarkan penuh puitis tetapi berkesan oleh Ian Witten, seorang sarjana sains komputer dan pencipta perisian perpustakaan digital Greenstone dalam bukunya “Naga Web” (“Web Dragons”) :
Sebuah cakerawala (digelar orang sebagai web)
adalah tempat masyarakat menyimpan
keseluruhan ilmu yang terjangkaukan.
Di situ kita belajar dan bermain, membeli serta
berniaga, berhubungan sesama teman lama,
dan menemui teman baru pula.
Hari ini kita berdiri di pusat
sebuah revolusi masyarakat yang mencipta,
menyusun, memberi ruang, memperaga,
dan melestari maklumat.
...Semua itu adalah web....









0 Response to " "
Post a Comment